ISLAM HADHARI
Semenjak Perdana Menteri menyebut tentang perlaksanaan Islam Hadhari sedikit masa dahulu, ramai di kalangan rakyat turut menyebut dan mengulangi istilah yang sama. Baik di kalangan para-para menteri, timbalan-timbalan menteri, di kalangan wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan, para ulama, para akademik, pengulas-pengulas di akhbar dan tidak ketinggalan juga rakyat biasa dari berbagai-bagai peringkat masyarakat.
Dalam isu-isu yang lain, orang memperkatakan terus pendapat mereka tentang isu yang menjadi persoalan. Suka tak suka. Pro dan kontra. Kesan baik dan kesan tidak baiknya dan berbagai-bagai lagi. Tetapi dalam isu Islam Hadhari ini, tidak banyak pendapat seperti itu dibincangkan. Tidak ada pendapat pro atau kontra, suka atau tak suka, kesan baik atau tidak baiknya. Ini kerana orang masih belum faham. Orang masih tertanya-tanya. Orang masih belum pasti apa sebenarnya Islam Hadhari itu. Oleh itu tidak ada siapa yang boleh memberi pandapat atau membuat apa-apa komen.
Kalau ada pun yang memberi reaksi, hanya setakat menyatakan kefahaman mereka tentang Islam Hadhari. Itu pun kefahaman mereka sahaja, tidak ada apa-apa yang pasti. Sebab tidak ada tempat rujuk. Islam Hadhari tidak disebut dalam Quran dan tidak disebut dalam hadis. Ulama-ulama muktabar dahulu pun tidak ada yang menyebutnya. Ia istilah baru atau istilah kontemporari. Ia hanya disebut oleh beberapa ilmuan mutakhir dan kefahaman ini belum meluas dan belum diterima umum.
Seperti juga istilah Islam Madani yang pernah dipopularkan satu ketika dahulu, ia juga adalah istilah kontemporari. Tidak ada dalam Quran dan tidak ada dalam hadis. Namun istilah Madani ini lebih mudah difahami sebab maksudnya terus dan direct. Bila dikatakan Islam Madani, maksudnya Islam yang maju lahir batin. Kalaupun orang tidak boleh bayangkan kemajuan batin atau rohaninya, sedikit sebanyak orang boleh nampak pembangunan dan kemajuan lahirnya seperti kereta mewah, gedung yang besar-besar dan sebagainya.
Madani adalah dari perkataan madana yang bermaksud kemajuan. Apabila ditambah “ya” dihujungnya menjadi madani, maka mengikut kaedah bahasa Arab, ia menjadi isim nisbah iaitu yang dibangsakan kepada kemajuan.
Hadhari adalah dari perkataan hadhara. Kalau hendak diterjemahkan dari segi bahasa, maknanya hadhir (hadir). Bila ditambah “ya” dihujungnya menjadi hadhari, maka maksudnya menjadi isim nisbah iaitu dibangsakan kepada hadhir.
Kalau maksud madani itu terus dan direct iaitu kemajuan, maksud hadhari pula tidak sebegitu direct. Orang tidak dapat kaitkan hadhir dengan Islam. Apakah itu Islam yang hadhir? Maksudnya kabur. Oleh itu istilah hadhari ini perlu diterjemah diulas dan dikupaskan lagi.
Terjemahan atau kupasan kepada istilah hadhir ini ialah realiti. Jadi Islam Hadhari ialah Islam Realiti. Realiti ialah yang sebenarnya, yang betul-betul Islam, yang tulin dan pure dan yang hakiki. Iaitu Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan di zaman para-para sahabat. Islam yang membawa kemajuan rohaniah dan lahiriah.
Bila diulas, dibahas dan dikupas, kita dapati hadhari dan madani itu kurang lebih sama maksudnya. Cuma madani senang difahami dan maksudnya jelas sedangkan hadhari maksudnya tidak jelas dan ia bersifat indirect. Yang berbeza hanya istilahnya sahaja kerana ianya dibawa oleh orang yang berlainan. Maksud, hakikat dan tuntutannya tetap sama. Islam itu satu sahaja. Iaitu seperti yang diajar dan dibawa oleh Rasulullah SAW.
Kalau ada Islam yang berbeza dari itu, maka bukan Islamlah namanya. Islam itu satu, berasaskan Quran yang satu dan dibawa oleh Rasul yang satu. Oleh itu ia mesti satu pada bila-bila masa pun. Kecuali dalam hal-hal furuk yang kita dibenarkan bermazhab.
Namakanlah Islam itu madani ataupun hadhari ataupun apa-apa istilah yang lain, ia tetap Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW, kerana kalau dikatakan Islam, tidak ada Islam lain selain daripada itu. Kalau berbeza maka ia dengan sendirinya tertolak.
Sebenarnya, kalau disebut Islam sahaja pun sudah cukup. Istilah-istilah dan slogan-slogan yang lain sebenarnya tidak menambah apa-apa kepada istilah Islam. Yang penting umat Islam mesti memahani betul-betul Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Bukan Islam ikut fahaman sendiri atau ikut fahaman kelompok-kelompok yang tertentu. Oleh itu jangan kita terkeliru dengan istilah Madani atau Hadhari. Walaupun bunyinya hebat dan mengkagumkan, ia sebenarnya tidak ada membawa apa-apa maksud baru atau maksud-maksud tambahan kepada istilah Islam yang sebenarnya.
Oleh kerana tajuk yang sedang diperkatakan ialah tentang Islam Hadhari, maka kita pinjam istilah Islam Hadhari ini bagi menerangkan Islam yang sebenar atau Islam Realiti dan Islam Hakiki. Apa yang dimaksudkan dengan Islam yang sebenar atau Islam Hadhari itu ialah Islam yang indah dan bersifat global. Semua aspek Islam terbawa dalam setiap tindakan. Aqidah dan syariat terbawa dan berlaku dalam semua aspek dan tempat, samada dalam diri sendiri, rumahtangga, masyarakat, pejabat, pentadbiran, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, pertanian, hiburan, perhubungan, dalam negara dan dalam hal-hal antarabangsa. Begitulah indahnya Islam Hadhari.
Islam Hadhari itu membawa tamadun. Oleh kerana ia bersifat global dan terlalu luas, mari kita bincang aspek-aspek yang tertentu sahaja supaya nampak jelas ketamadunannya. Islam Hadhari membawa dua bentuk tamadun iaitu pertama yang bersifat rohani atau maknawi dan yang kedua yang bersifat material. Tamadun material tidak perlu disebut atau dibincang sebab ia sudah maklum dan mudah difahami. Kalau kita lihat pembangunan yang ada sekarang, ia akan ditambah lagi. Kalau sedikit pembangunan, ia akan jadi banyak. Kalau tidak canggih, akan menjadi lebih canggih. Dengan gedung-gedung dan pencakar langitnya. Dengan lebuhrayanya. Dengan pelabuhan kapal dan lapangan terbangnya. Dengan jambatan-jambatan yang merentas sungai dan laut. Sistem komunikasi, ICT dan berbagai-bagai lagi. Ini semua boleh dilihat oleh mata. Kerana itu, ia mudah difahami.
Namun tamadun yang bersifat rohani dan maknawi lebih susah untuk difahami. Di samping itu, ruang lingkup tamadun rohani ini lebih luas dan ia tidak dapat dibincangkan dalam semua aspek. Biasanya orang memahami tamadun rohani itu sebagai kemajuan kemanusiaan dan keinsanan. Manusialah yang hendak ditamadunkan. Tetapi disebabkan yang bercakap tentang Islam Hadhari ini ialah Perdana Menteri sendiri, sudah tentulah tamadun rohani yang dimaksudkan bukanlah kemajuan manusia secara umumnya tetapi manusia yang bersabit dengan pentadbiran kerajaan. Bagaimana cara hendak membangunkan tamadun rohani dalam diri-diri manusia yang terlibat dengan pentadbiran negara? Dalam semua kementerian dan jabatan-jabatan dan dalam semua agensi-agensi kerajaan. Yang kemudiannya akan diikuti oleh rakyat. Ini yang susah dan ramai yang tidak faham.
Tentang tamadun material, negara kita tidak ada masalah. Berbagai-bagi kemajuan dirancang dan dilaksanakan. Ada rancangan lima tahun dan berbagai-bagai rancangan pembangunan yang lain. Hingga kita sudah jadi model kepada negara-negara membangun yang lain di dunia. Tetapi dalam hendak membina dan membangunkan tamadun rohani di dalam pentadbiran negara, kita bingung dan buntu. Kita tidak nampak jalan dan tidak tahu kaedahnya.
Apa yang nyata, selagi tamadun rohani itu tidak dibangunkan terutama dalam pentadbiran negara, maka selagi itulah kita belum mencapai apa yang dinamakan Islam Hadhari. Kerana Islam Hadhari itu menuntut kedua-dua tamadun itu ditegakkan. Setakat menerap nilai-nilai Islam sahaja tidak memadai. Manusianya tidak akan berubah. Ia tidak akan membawa kepada suatu tamadun.
Tambahan pada itu seperti juga tamadun material, tamadun rohani ini tidak boleh dibangunkan oleh rakyat jelata atau diserahkan kepada rakyat untuk membangunkannya. Rakyat hanya mengikut. Pemimpin kerajaanlah yang mesti memulakannya. Yang hendak melaksanakannya pula ialah pegawai-pegawai di jabatan dan kementerian. Barulah kemudiannya diikuti oleh rakyat jelata.
Kalau tamadun material bersangkut dengan benda, tamadun rohani pula bersangkut dengan manusianya. Manusianyalah yang hendak dibangun dan ditamadunkan. Manusianyalah yang hendak dihadharikan atau dimajukan. Bagaimanakah hendak kita majukan manusia yang terlibat dengan kerajaan, bermula dari pemimpin, pegawai-pegawai dan seluruh kakitangannya. Inilah persoalannya.
Oleh kerana organisasi pentadbiran kerajaan itu besar, mari kita lihat pada satu bahagian sahaja bagaimana orang-orang kerajaan dapat dibangunkan atau dihadharikan. Mari kita lihat dalam satu daerah pentadbiran yang diketuai oleh seorang Pegawai Daerah (DO) seperti Daerah Gombak contohnya. Mari kita lihat bagaimana DO Daerah Gombak boleh menghadharikan orang-orang di bawah pentadbirannya sebagai menyahut seruan Perdana Menteri untuk melaksanakan Islam Hadhari.
Di pejabat daerah, ketuanya adalah DO. Di bawahnya ada ketua Penolong Pegawai Daerah. Di bawah itu pula ada beberapa Penolong Pegawai Daerah (ADO) dengan portfolio atau tugasnya masing-masing. Ini diikuti oleh pegawai-pegawai tadbir, pegawai-pegawai kerani dan lain-lain.
Apakah yang mesti dilakukan oleh DO untuk menghadharikan orang-orang di dalam pejabat dan daerahnya.
DO selaku pemimpin nombor satu di daerah itu, kalau hendak mencetuskan Islam Hadhari di pejabat atau di daerahnya, maka dia mesti bertindak sebagai seorang pemimpin, guru, ayah, ibu dan kawan yang setia kepada orang-orangnya. Jelas di sini, DO tersebut mestilah ada lima watak.
Bila dia membuat arahan atas dasar kerja, itu watak pemimpin. Supaya seluruh pekerja-pekerja itu faham bagaimana hendak bekerja dan supaya setiap masa bertambah tenaga dan pekerja pula bertambah faham.
DO juga mesti tentukan anak-anak buahnya ikhlas bekerja, tidak ponteng atau curi tulang. Ini tentulah hendak diajar dan hendak diberi kesedaran. Paling tidak, ada satu pengajian yang DO sendiri ajarkan. Supaya orang-orangnya subur jiwa. Bertambah berkasih sayang dan terjadinya tolak ansur dan kerjasama di kalangan mereka. Itu semua hendak disuburkan selalu. Jadi seorang DO kena ada ilmu sebab dia juga mesti berwatak sebagai seorang guru.
Bila pula dikatakan watak ayah? Gambarkan dalam sebuah rumahtangga. Macam mana keadaan seorang ayah dengan sesiapa saja yang ada di dalam rumahnya seperti anak isteri, cucu, adik-beradik dan sebagainya. Dia mesti bertanggungjawab. Tetapi bertanggungjawab yang bagaimana? Kalau rumahtangga itu di bawa ke pejabat, maksudnya, kalau ada pekerja yang sakit, dialah yang menguruskannya. Sebab pekerja itu umpama anaknya sendiri. Kalau tidak ada duit untuk membeli ubat, katakanlah kerajaan tidak berikan wang dan ia menjadi tanggungan sendiri, maka dia sebagai seorang ayah mesti berpakat dengan anak-anaknya yang lain. Di pejabat, anak-anak itu adalah pekerjanya. Maka bila ada orang sakit, dia hendaklah mengajak pekerja-pekerjanya bersama-sama bertolong-bantu agar dapat membawa orang yang sakit ke hospital swasta misalnya. Itulah sifat atau sikap seorang ayah.
Kalau mendengar ada pekerja yang sakit, dia kena ziarah. Kalau tidak boleh menziarah kerana sibuk, maka dia mesti mengarahkan pekerja lain untuk menziarah. Seorang ayah akan mengingatkan keluarganya, kalau ada kawan sakit mesti pergi ziarah. Pada orang yang sakit pula disuruh sabar. Kemudian siapa yang belum kahwin, dia harus kahwinkan atau carikan jodoh. Jangan dibiarkan anak buah begitu sahaja. Kadang-kadang pekerja itu tidak faham bagaimana hendak menguruskannya sendiri. Sesetengah orang itu segan. Jadi sebagai ayah mesti faham. Bila dijodohkan, tentulah hendak dibuat kenduri. Berpakatlah adik-beradik. Di pejabat itu sudah dianggap adik beradik. Kita tanggung bersama dan buat kenduri bersama.
Contohnya, ada yang bawa beras, ayam, daging, gula, kambing dan lain-lain. Indahnya. Itulah ayah di pejabat, bertanggungjawab kepada anak-anak di pejabatnya. Inilah yang dikatakan Islam Hadhari. Kemudian, selepas berkahwin 3 bulan, pasangan pula mula bergaduh. Ayah susah hati. Janganlah terus pergi kepada kadhi. Dalam ajaran Islam, berjumpa kadhi itu adalah jalan yang terakhir sekali. Macamlah anak dan menantu bergaduh di rumah kita. Jangan disuruh pergi berjumpa kadhi. Tidak mungkin seorang ayah terus menyuruh anaknya berjumpa dengan kadhi. Tentu dia mahu bertanggungjawab. Contohnya, anak menantu itu dinasihati dan diambil tahu masalah mereka. Kalau di pejabat daerah ada yang bergaduh, DO lah yang akan menyelesaikan masalah mereka. Kalau perkara ini berlanjutan hingga 6 bulan tidak selesai juga, barulah langkah terakhir diambil. Dalam kes ini, sekiranya berlaku pergaduhan suami isteri, barulah merujuk kepada kadhi. Inilah jalan terakhir. Begitulah tanggungjawab seorang DO yang berwatak seorang ayah. Dia tidak boleh berfikiran bahawa masalah pekerja adalah masalah peribadi mereka yang mesti diselesaikan sendiri oleh pekerja itu. Itu adalah cara Barat dan cara Yahudi yang tidak langsung menampakkan keindahan. Cara Islam tidak begitu.
Bagaimana pula berwatak ibu ? Ibu adalah tempat bermanja dan tempat mengadu. Kadang-kadang hendak mengadu pada ayah tidak tergamak, apatah lagi bila hendak meminta duit pada ayah. Rasa malu jadi berjumpalah dengan ibu. Ibu selalunya menjadi perantaraan antara anak dan ayah. Jadi, ibu itulah tempat bermanja.
Maknanya kalau ada kakitangan di pejabat yang ada masalah, dia sanggup berjumpa DO untuk mengadukan masalahnya kerana dia anggap DO itu sepeti ibunya. Betapa indahnya bila ia terjadi begitu. Contohnya, seorang pekerjanya tinggal di kawasan yang ada orang jahat atau gangster menyebabkan dia selalu ketakutan. Tidak mungkin dia dapat mencari rumah lain dengan mendadak. Waktu itu, DO itulah seolah-olah ibunya. DO lah yang akan bertindak menyelesaikan masalahnya. Tidakkah itu indah?
Sekali-sekala menjadi kawan setia. Bagaiman DO dapat menjadi kawan yang setia? Itu boleh dilakukan dengan mengutamakan pekerja-pekerjanya. Mengutamakan orang-orang bawahannya. Sangat bertimbangrasa dengan orang-orang bawahnya. Itulah watak sahabat. Setia dengan orang-orangnya. Ertinya setia dengan sahabat. Kalau DO itu mampu berbuat demikian kepada orang-orangnya seperti yang digambarkan, iaitu berwatak pemimpin, guru, ayah, ibu dan kawan, maka berlakulah apa yang dikatakan hadhari.
Perkara yang sama juga patut belaku di kampung-kampung, kementerian-kementerian, sekolah-sekolah dan institusi-institusi. Maka terlaksanalah kehidupan masyarakat hadhari. Kehidupan menjadi cantik dan indah. Dunia sudah menjadi syurga sebelum syurga. Masalah selesai sebab ada banyak tempat mengadu. Di rumah ada ibu dan ayah memimpin kita dan di pejabat pula, majikan kita memimpin dan menjadi tempat mengadu.
Katalah di peringkat DO tidak selesai, ada wakil rakyat pula di pihak atasannya. Wakil rakyat boleh ambil alih tugas-tugas tersebut iaitu sebagai pemimpin, guru, ayah, ibu dan kawan. Kalau tidak selesai juga, pergi pula kepada kementeriannya. Kalau tidak selesai juga, baru pergi kepad pemimpin yang paling tinggi iaitu Perdana Menteri. Kalau tidak selesai juga, maka barulah berjumpa dengan pihak kadhi dan sebagainya. Itulah caranya mengikut ajaran Islam. Sudahkah perkara ini dijadikan pengajian? Ternyata kita belum pernah mendengarnya. Jauh sekalilah untuk mengamalkannya.
Ini ilmunya. Ilmu ini perlu ada dahulu dan perlu difahami dan dihayati. Kemudian ia mesti difahamkan kepada orang lain pula. Setelah semuanya faham barulah bertindak. Akan lahirlah buahnya iaitu manusia yang hadhari yang akan membawa pula kepada Islam Hadhari dan masyarakat hadhari. Apa yang belaku di pejabat daerah Gombak seperti yang diceritakan di atas boleh diqiaskan dan diamalkan di semua jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
Islam Hadhari tidak boleh disalahfaham. Kaum-kaum lain dan orang bukan Islam tidak perlu takut atau bimbang. Islam Hadhari bukan bersifat agama semata-mata iaitu hanya meyakinkan Tuhan dan melibatkan cara peribadatan, penyembahan dan sembahyang. Walaupun negara mengajak kepada Islam Hadhari, ini tidak bermakna negara mengajak semua kaum dan bangsa memeluk Islam.
Yang bersifat agama, iaitu soal Tuhan dan soal penyembahan, masing-masing rakyat boleh pertahankan agama, kepercayaan dan pegangan masing-masing. Dalam Islam, soal Tuhan, kepercayaan dan agama tidak ada paksaan. Itu adalah hak asasi setiap manusia. Bahkan kalau ada orang tidak mahu percayakan Tuhan pun, tidak ada siapa yang boleh paksa. Agama adalah hak peribadi setiap manusia. Jadi tidak perlu bimbang.
Tetapi untuk kepentingan bersama di dunia, khususnya bagi semua kaum, bangsa dan etnik dalam sebuah negara, kita boleh mencari jalan dan sistem yang menjamin keselamatan dan keharmonian. Itulah sebabnya, di dunia hari ini, dasar setiap negara adalah berasaskan prinsip yang bukan ciptaan negara itu sendiri. Ia diambil dari negara atau bangsa lain dan disesuaikan untuk kegunaan sendiri. Ini semua bagi tujuan untuk mencapai keadilan dan keselamatan.
Sebagai contoh, asas undang-undang bagi kebanyakan negara di dunia adalah berasaskan perundangan dan sistem Islam dari zaman kegemilangannya. Barat yang terlebih dahulu menggunakan perundangan Islam sebagai panduan. Kemudian ia dari masa kemasa diubah dan disesuaikan dengan keadaan dan perubahan zaman. Orang Barat tidak membantah. Mereka nampak akan kebaikan dan manfaatnya. Orang Barat tidak pula memeluk Islam. Mereka boleh ambil sisem dan perundangan Islam tanpa memeluk agama Islam. Mereka ambil cara hidup dan perundangan Islam tetapi tidak mengambil agamanya. Mereka tetap dengan agama asal mereka. Maka jelas bahawa sistem, peraturan dan cara hidup Islam boleh diambil tanpa mengambil agamanya. Sistem, peraturan dan cara hidup Islam memang sesuai untuk semua manusia, tidak kira apa kaum, bangsa, etnik ataupun agama.
Contoh lagi ialah demokrasi. Demokrasi adalah ajaran dari Barat. Tetapi banyak negara di timur mengamalkan demokrasi mengikut acuan masing-masing. Perkara ini tidak dipertikaikan oleh rakyat mereka. Begitu juga komunisma dan sosialisma. Ia juga ajaran dari Barat. Pengasasnya ialah Karl Marx. Negeri China mengamalkan komunisma. Rakyat China tidak membantah.
Bahkan dunia sedang mencari-cari ajaran dan sistem-sistem yang baru untuk diamalkan kerana demokrasi, komunisma dan sosialisma nyata sudah nampak kelemahannya. Ianya punca krisis, perpecahan, ketidakadilan, kerosakan moral dan akhlak dan peperangan. Kalau Perdana Menteri hendak negara mengamalkan Islam Hadhari, itu tidak salah. Islam Hadhari adalah satu sistem yang boleh dipakai untuk pentadbiran negara. Malahan ia mungkin sistem yang terbaik untuk negara kita. Kerana Islam itu bukan sahaja bercorak agama. Ia adalah juga cara dan peraturan hidup (way of life) dan cara bernegara atau tatanegara yang sesuai bagi semua kaum dan bangsa walaupun tidak Islam. Bagi yang bukan Islam, tidak perlu ambil agamanya tetapi boleh ambil tatanegara dan peraturan hidupnya sepertimana juga kita mengambil demokrasi.
Bagi Malaysia, Islam Hadhari mungkin lebih baik dari demokrasi. Ia lebih menjamin perpaduan kaum, keharmonian dan keselamatan. Mari kita lihat keindahannya. Kalau tidak pada agamanya, pada cara hidup dan peraturannya dan dalam konteks tatanegaranya.
Apa erti Islam? Islam ertinya keselamatan. Keselamatan termasuklah keadilan, samada disegi undang-undang, keadilan mendapat pekerjaan, keadilan pengagihan kekayaan mengikut kemampuan dan kebolehan. Keselamatan termasuk berkasih sayang, bersatu padu, rasa bersama dan bekerjasama yang semua orang perlukan. Keselamatan termasuk tolong-menolong, bela membela dan bertolak ansur. Keselamatan juga ialah hormat menghormati antara satu sama lain, tidak boleh hina menghina kerana berlainan agama atau bangsa. Keselamatan juga ialah kebebasan melaksanakan apa yang jadi hak asasi masing-masing mengikut undang-undang dan peraturan supaya tidak ada pelanggaran. Itulah maksud keselamatan mengikut pengertian Islam.
Apa erti Hadhari? Hadhari ertinya kemajuan. Kemajuan yang membawa kemakmuran. Makmur disegi makan minum dan pakaian. Cukup keperluan asas seperti tempat tinggal, alat-alat perhubungan, alat-alat pentadbiran dan kemudahan mencari ilmu dan pengetahuan. Alat-alat pula canggih mengikut keperluan dan zaman. Kampung maju dan bandar pun maju. Kelengkapan ketenteraan moden dan canggih.
Itulah Islam Hadhari iaitu gabungan antara pembangunan insan dan kemajuan material. Dua perkara yang diperlukan oleh setiap insan, bangsa dan negara mengikut zaman. Keselamatan, keharmonian, kemajuan dan kemakmuran yang dibawa oleh Islam Hadhari adalah idaman setiap manusia. Islam Hadhari itulah sebenarnya yang diidam-idamkan oleh rakyat berbilang kaum di Malaysia. Hanya mereka tidak sedar dan tidak tahu. Ia khabar gembira bagi seluruh rakyat. Ia perubahan yang benar-benar kita perlukan. Kalau tertegak Islam Hadhari, akan berlaku satu perubahan yang luarbiasa dan sangat menguntungkan. Integrasi dan perpaduan kaum akan menjadi kenyataan. Jenayah dan gejala masyarakat yang menakutkan dan memeningkan kepada semua kaum akan berkurangan.